Kalau Buaian Itu Berayun Sendiri, Janganlah Tunggu Lama-Lama. Segera Angkat Kaki

Jika melihat buaian berayun sendiri, saya memang takkan tunggu lama. Segera angkat kaki! Mengapa? Kerana saya ada pengalaman aneh berkaitan buaian yang masih saya ingati hingga kini.

Ketika itu dalam tahun 2009, saya bersama tiga orang kawan iaitu Razif, Zamri dan Iman, keluar untuk makan malam. Selesai makan, Razif yang pulang bercuti mengajak kami semua meronda. Katanya sudah lama dia tidak bersiar-siar di Kota Bharu.

Kami semua bersetuju. Saya yang memandu kereta menuju ke sebuah taman permainan, tempat di mana kami sering melepak dahulu.

Dulu, kawasan taman itu sangat gelap pada waktu malam. Setelah dimajukan, kawasan itu menjadi cantik dan terang. Lampu-lampu bersusun indah. Walaupun cantik, tetapi bagi saya suasananya tidak semeriah dulu.

Dahulu, tiap-tiap malam kawasan itu meriah dengan kehadiran muda-mudi. Ditambah ada pula yang memetik gitar menghidupkan lagi suasana malam. Kawasan itu agak jauh dari perumahan. Walaupun melalak sehingga ke pagi, ia tidak mengganggu penduduk. Di situlah dahulu kami banyak menghabiskan masa melepak dan bersembang hingga ke awal pagi.

Sampai di situ dan setelah memarkir kereta, kami menuju ke sebuah pondok tempat kami melepak satu ketika dahulu. Pondok itu sudah dibina dengan batu. Kami mula mengenang kembali nostalgia lama. Sungguh indah ketika itu, sewaktu masing-masing masih lagi muda remaja. Tetapi kini semua sudah membawa haluan sendiri. Apabila ada masa sebegini sahaja kami dapat berkumpul semula.

Kami semua ketawa besar apabila satu per satu nostalgia lama mula keluar dari mulut masing-masing. Sedang kami ketawa terbahak-bahak, tiba-tiba saya nampak ada sebuah buaian berayun dengan sendirinya. Saya mencuit bahu Zamri dan menjuihkan bibir ke arah buaian yang sedang berayun itu.

Zamri jawab, mungkin angin yang menolaknya. Tetapi saya pelik kerana cara ayunan buaian itu seperti ia digerakkan oleh sesuatu. Untuk kepastian, saya bertanya kepada Razif dan Iman pula. Mereka pun berandaian sama seperti Zamri. Lalu kami abaikan buaian itu.

Tidak lama selepas itu, kami terdengar sayup-sayup suara kanak-kanak sedang bermain. Suara itu datangnya dari arah papan gelongsor. Sekejap sahaja sebelum suara itu hilang, seolah-olah datang dan pergi bersama angin.

Mata kami semua terarah ke situ. Tapi tidak ada sesiapa pun di situ kecuali kami berempat. Bulu roma saya mula meremang. Suara siapakah yang kami dengar tadi?

Kata Razif, mungkin suara dari sebuah kedai di tepi jalan sana. Tapi, mustahil. Kedai itu agak jauh. Tambah Razif lagi, jika itu suara hantu, dia mahu menjentik telinga hantu tersebut. Kata-katanya disambut gelak ketawa oleh Iman dan Zamri. Razif memang sejak dahulu lagi suka bercakap besar.

Saya terus memandang segenap kawasan itu. Berasa tidak sedap hati, saya mengajak mereka pulang. Tetapi semuanya enggan sebab sudah lama tidak melepak di situ. Hati saya mula tidak tenteram, seperti ada sesuatu di kawasan itu. Setelah jam menghampiri 1.00 pagi, barulah mereka mahu pulang. Semasa kami berjalan menuju ke tempat letak kereta, masing-masing mentertawakan saya.

Mereka kata saya penakut. Dah besar panjang pun masih lagi takut kepada hantu. Razif masih lagi bercakap besar. Katanya dia mahu memulas telinga hantu kalau ia muncul.

Tanpa diduga, tiba-tiba sahaja enjin kereta tidak dapat dihidupkan. Walaupun dicuba beberapa kali, namun tetap gagal. Saya minta Razif, Iman dan Zamri menolak kereta, manakala saya menjaga sterengnya.

Ketika sedang menolak kereta, tiba-tiba datang satu bau yang sungguh wangi menusuk ke dalam hidung kami. Saya segera memandang ke arah cermin pandang belakang. Dengan jelas saya nampak ada satu lembaga hitam berada di tepi Zamri. Darah saya berderau.

Apabila enjin berjaya dihidupkan, mereka bertiga berkejar masuk ke dalam kereta. Saya terus memecut kereta. Saya diamkan perkara itu. Di dalam kereta, saya mula berasa pelik apabila ketiga-tiga mereka tidak bercakap. Dalam masa yang sama, bau wangi tadi masih lagi dapat kami hidu.

Bau itu sungguh kuat, seolah-olah bau bunga melur. Saya mengerling ke arah Razif yang berada di kerusi depan. Saya nampak bibirnya terketar-ketar. Zamri dan Iman juga membisu.

Selepas agak jauh berlalu, tiba-tiba Zamri bersuara. “Kau nampak tak benda apa yang ikut kita sekarang ni?”

Saya jadi gelabah, saya pandang cermin pandang belakang. Tidak nampak apa-apa. Pandang cermin sebelah kiri, tidak ada benda. Apabila memandang cermin sebelah kanan, saya ternampak satu susuk tubuh seperti beruk, bertaring panjang dan matanya bersinar sedang bertempek di cermin pintu kereta betul-betul di sebelah Zamri.

Bulu roma saya terus menegak. Razif terketar-ketar, tidak bercakap langsung. Iman menekup mukanya dengan tangan. Saya terus bertakbir. Allahuakbar! Allahuakbar!

Beberapa minit kemudian, bau bunga melur itu mulai hilang. Makhluk hitam menyerupai beruk itu juga sudah tiada. Barulah masing-masing mampu menghela nafas lega.

Sepanjang perjalanan pulang, tidak ada seorang pun bersuara. Setelah menghantar seorang demi seorang ke rumah masing-masing, saya perlu memandu keseorangan pulang ke rumah.

Semasa memasukkan gear kereta, saya menelan air liur. Seluruh badan terasa panas sejuk seolah-olah mahu demam. Mujurlah tidak terjadi sebarang perkara buruk sehingga saya sampai ke rumah.

Sejak itu, saya berpesan pada diri sendiri. Jika datang ke taman permainan pada waktu malam, perhatikanlah ke arah buaian. Kalau buaian itu seperti berayun sendiri, janganlah tunggu lama-lama…!

Sumber Romzi

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

 

Related Posts: